Khamis, 2 Julai 2009

Syabas !!!



Dipetik dari Laman Web Pemuda UMNO

Setahun Janji Kosong Kerajaan Pulau Pinang, Pemuda Selesaikan Nasib Pekerja Kilang Nikko

Oleh S.A Najmuddin


Kuala Lumpur -- Nasib 800 pekerja kilang Nikko Electronics Berhad, Perai, Pulau Pinang yang telah diberhentikan perkhidmatan dengan notis 24 jam pada 30 Jun 2008 yang lepas mendapat pembelaan hari ini setelah mereka akan ditawarkan dengan pekerjaan baru dalam tempoh terdekat.


Rintihan mereka selama setahun akhirnya menemui jalan penyelesaian setelah Sekretariat Pekerja Muda Pemuda UMNO Malaysia mengambil inisiatif membawa permasalahan mereka ke pengetahuan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan pagi tadi.

Hasilnya rombongan sekretariat tersebut yang diketuai Pengerusinya, Nazir Hussin Akhtar Hussin bersama wakil pekerja Kilang Nikko, Mat Zahir Ismail bukan sahaja ditawarkan pekerjaan sebuah kilang terkemuka di Prai malah turut diberi peluang untuk mengikuti beberapa program yang disediakan Kementerian Sumber Manusia.

Pada sidang medianya, Nazir menjelaskan hasil dari pertemuan tersebut beberapa jalan penyelesaian telah dicapai bagi membantu membela nasib pekerja-pekerja berkenaan.

"Antaranya pihak Kementerian telah bersetuju untuk mengadakan Karnival Pekerjaan pada 11 Julai ini bagi membantu pekerja-pekerja tersebut mendapatkan peluang pekerjaan segera.

"Bagi mereka yang sukar mendapatkan pekerjaan berikutan faktor usia, mereka akan didaftarkan menerusi melalui program ’Train & Place’ yang mana mereka akan diberi latihan mengikut bidang-bidang yang ditetapkan dan akan terus diserapkan sebagai pekerja di premis yang diperlukan mengikut skill bidang latihan yang diikuti.

"Dan pekerja tersebut juga akan mendapat elaun sebanyak RM 500 – RM 800 sebulan sepanjang tempoh menjalani latihan yang dibiayai oleh Kementerian Sumber Manusia", katanya.

Beliau seterusnya menjelaskan pada masa yang sama Syarikat Sony turut menyatakan kesediaan untuk mengambil semua bekas pekerja kilang Nikko untuk berkhidmat di kilang syarikat itu.

"Kita cukup terharu atas keprihatinan kementerian yang telah memanggil serta merta wakil Sony untuk datang mengadakan perbincangan bersama wakil pekerja berkenaan di kementerian tengah hari tadi.

"Hasil pertemuan pihak kilang Sony telah bersetuju pada dasarnya untuk menempatkan kesemua bekas pekerja-pekerja yang masih belum memperolehi pekerjaan untuk diserapkan di kilang berkenaan di Prai, Pulau Pinang", katanya.

Berkaitan tuntutan pampasan pekerja-pekerja tersebut yang telah difailkan di mahkamah, Nazir berkata kes tersebut dijangka akan disebut di Mahkamah Tinggi pada 3 Julai ini.

"Menurut sumber yang dipercayai, kita difahamkan bahawa akan ada perkembangan yang positif dari pihak kilang NIKKO Electronic Berhad dalam masa yang terdekat di mana ianya akan memberi manfaat kepada bekas pekerja-pekerja tersebut", ujarnya.

Sementara itu, wakil pekerja kilang Nikko yang diberhentikan, Mat Zahir Ismail mengucapkan terima kasih kepada Pemuda UMNO yang sudi menjadi jambatan dengan mengutarakan perkara itu ke pihak kementerian.

Menurut beliau setelah sekian lama menganggur dan berjuang untuk mendapatkan hak serta pembelaan yang sewajarnya, hari ini mereka merasakan masalah tersebut sampai ke penghujung.

"Semua pihak telah kami utarakan masalah ini termasuk kerajaan negeri, namun sekadar janji semata-mata. Lebih 500 kawan-kawan masih lagi menganggur dan selebihnya mungkin telah mendapat pekerjaan lain.

"Justeru saya menyeru kepada semua kawan-kawan agar mengambil kesmepatan ini dan janganlah terlalu memilih pekerjaan. Rebutlah peluang yang ditawarkan ini untuk menanggung keluarga kita", katanya.

Maklumat Sekretariat Pekerja Muda
Web : www.excopekerjamuda.blogspot.com
Email : excopekerjamuda@gmail.com
Facebook : Sekretariat Pekerja Muda - Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia