Rabu, 31 Disember 2008

ISLAM DIANCAM, MELAYU SEMAKIN LALAI














Mulai jam 12 tengah malam ini, kita semua akan berada di tahun baru, azam baru, tenaga baru dan hala tuju perjuangan yang baru. Dalam pada
itu, anasir-anasir yang menganggu-gugat Islam dan Melayu semakin berani dan lancang. Bermula daripada kerenah Majlis Peguam yang mempertingkaikan undang-undang nikah kahwin dalam Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu yang menjaga hal-ikhwal agama dicabar hinggalah kepada fatwa mengharamkan yoga untuk orang Islam ikut dipersoalkan.

Kerana marahkan orang Islam yang menghalang terenakan babi di Melaka, maka kepala babi pula digantung di sana-sini. Hari ini Persatuan Kristian pula mendesak supaya membolehkan Kitab Injil diterjemah ke dalam bahasa Melayu untuk diedar keseluruh negara. Pedahal mereka tahu, larangan penterjemahan kitab-kitab agama selain daripada Islam sudahpun termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Alhamdulillah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tetap mempertahankannya.

Ini semua memberi alamat awal kepada kita, tahun baru yang akan kita hadapi esuk terlalu banyak cabaran dan ranjau yang mesti kita harungi. Bukan sahaja kemelesetan ekonomi dan masalah pengangguran kerana banyak kilang-kilang industri besar akan ditutup, tetapi juga kita sedang berhadapan dengan ancaman spiritual iaitu Islam dan kedudukan orang Melayu.

Sekarang Melayu masih lagi lalai. Pemimpin-pemimpin UMNO sekarang ini cukup sibuk berkempen untuk mendapatkan jawatan dalam pemilihan bulan Mac ini. Memang sudah menjadi lumrah, apabila berlakunya pemilihan pucuk pimpinan parti, maka beranika ragamlah yang berlaku. Mesyuarat Bahagian yang terbatal memang dah jadi kebiasaan. Apabila berlaku hal ini, ada yang tak puas hati, apabila tak puas hati bawa kes ke mahkamah. Masalah politik wang, hebuh satu negara, tetapi tak adapun tindakan diambil. Hinggakan tak pasal-pasal MP PKR dari Machang yang tak ada kena mengena memekak di parlimen, kononnya dia tahu dan ada bukti orang UMNO main duit untuk rebut jawatan.

Yang dia sibuk ambil tahu hal orang tu kenapa? Apakah parti Keadilan Rakyat yang secara terang-terangan mengadai maruah anak bangsanya dan berkesedudukan dengan puak-puak yang anti Islam itu okey? Salahnya kita, kerana terlalu ngairah untuk cari kuasa, kita lupa segala-galanya. Sehingga sanggup keluar parti beramai-ramai masuk parti pembangkang, padahal selama ini UMNO lah dijadikan lampu Aladdin untuk kepentingan diri. Sesungguhnya, dalam tempuh pemilihan ini, terlalu banyak perlakuan-perlakuan yang boleh menjatuhkan imej UMNO.

Warga Titiwangsa, secara peribadi, bukanlah pak sibuk untuk ambil tahu tepi kain orang, tetapi sebagai seorang ahli UMNO ikut terpanggil untuk campur mulut kerana kita melihat segala perlakuan sama ada di peringkat Bahagian atau pucuk kepimpinan tidak ada persafahaman dalam usaha pemulihan dan membina kekuatan ahli parti, sedangkan kita semua tahu terlalu banyak hal yang nak kita selesaikan sama ada dalam parti dan kerajaan untuk menghadapi cabaran PRU13 nanti. Yang amat penting ialah untuk memulihkan kepercayaan rakyat kepada parti, khususnya orang Melayu. Setakat hari ini, memang cukup jelas dan nyata cuma UMNO sajalah yang mempunyai kemampuan untuk menjadi payung negara dan benteng pertahankan kuasa Melayu.

Parti lain kita tidak nampak boleh menjadi pelindung kepada orang Melayu. PAS sejak berkesedudukan dengan DAP, terlalu banyak kesilapan yang dilakukan. Di manakah Islam yang diperjuangkan oleh parti itu selama ini? Iman dan takwa, hukum hudud dan pelbagai macam lagi? Kalau benar-benar memperjuangkan Islam kenapa terkunci mulut apabila orang mempertingkaikan Islam secara terang-terangan? Apakah kerana DAP sokong naikkan orang PAS jadi Menteri Besar maka terikat dan terkunci segala-galanya? Apakah ini yang diajar oleh Islam yang dianuti oleh PAS?

Parti Keadilan Rakyat? Jauh panggang dari api! Dato' Seri Anwar Ibrahim semasa dalam UMNO bukan main bersemangat bercakap, sampai tersembur-sembur air liur ingin membina Masyarakat Madani, yang berjiwa luhur, beriman, telus dan bertanggung-jawab dan berikrar untuk mempertahakan Islam, Melayu dan Negara sehingga ke titisan darah yang terakhir, sekarang apa jadi? Apakah Masyarakat Madani Anwar Ibrahim ialah berkesedudukan dengan puak-upak yang memaki hamun Islam? Pengkhianat-pengkhinat yang menjahanamkan harta benda kerajaan, yang menghina dan mencaci orang Melayu? Anwar sebenarnya berpolitik kerana ingin membalas dendam, hilang hala tuju dan sesat dalam perjuangannya sendiri.

Oleh itu, warga Titiwangsa amat berharap, kepimpinan baru parti dan kerajaan selepas bulan Mac ini akan membawa hala tuju perjuangan yang sebenarnya-benarnya. Melayu masih lagi perlukan UMNO! Jagalah hati mereka, pulihkanlah semangat mereka. Melayu masih sayangkan UMNO!

Selasa, 30 Disember 2008

PENIAGA ASING NAIK TONCANG?

Para sahabat dari Keramat, Kampung Baru dan Kampung Pandan sekarang ini semakin pening kepala kerana akhir-akhir ini peniaga asing semakin besar kepala dan naik toncang. Banyak rumah-rumah kediaman yang mereka sewa dijadikan premis perniagaan yang menjual segala product dari Indonesia, pelbagai jenis jamu, ubat kuat, ubat rangsang, minyak urut dan macam-macam.

Yang jadi tanda tanya, setahu kita, menjadikan rumah kediaman sebagai premis perniagaan, kalau tak salah perkiraan merupakan satu kesalahan dan melanggar peraturan DBKL. Yang peleknya kenapakah hal ini berlaku dengan berleluasa? Disambung sana sini dengan sesuka hati. Sampah sarap berselerak dibahu-bahu jalan, sekali pandang dah jadi macam bangsal-bangsal buruk di dusun durian.

Kaum kerabat di Titiwangsa naik pelek, kerana biasanya untuk membuka premis perniagaan banyak benda yang mesti diuruskan, borang mesti diisi setebal satu inci, kena ada peta lakar premis, jaminan keselamatan dari Bomba, TNB dan macam-macam. Itupun belum tentu dapat lesen. Begitu juga kalau nak ubah suai premis, kena minta kebenaran daripada pihak berkuasa DBKL ataupun Majlis-Majlis Tempatan atau Majlis Daerah. Kalau bina membuta tuli, tindakan akan diambil dan kena roboh.

Tetapi kenapakah peniaga-peniaga asing boleh buat sesuka hati saja? Macam mana perkara ini boleh berlaku? Apakah ada cerita-cerita di belakang tabir atau "main kelip-kelip mata" dalam cerita Laila Majnun? Kalau berniaga tanpa lesen, macam manakah DBKL dapat hasil? Rakyat tempatan, kalau nak buka perniagaan macam-macam syarat dan peraturan, tetapi orang asing boleh buat sesuka hati. Tak perlu bayar apa-apa, semua pendapatan boleh hantar balik kampung. Sebab itu setiap tahun ribuan juta duit kita mengalir keluar.

Warga Titiwangsa amat berharap kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baru ini, kenalah buat sesuatu. Kena tengok juga cara penguat kuasa mejalankan tugas, jangan ada yang salah gunakan kuasa. Kita tidak mahu Datuk Bandar saja yang bertukar ganti tetapi mutu kerja masih di takuk lama. Kalaulah hal ini tidak ditangani dengan serius, satu hari kita akan lihat ada orang kandar tong atau junjung bakul menjual jamu di merata jalan raya macam di Jakarta.

Tuan-tuan punya rumah yang menyewakan rumah-rumah mereka kepada pendatang asing kena tengok juga, janganlah mentang-mentang kerana duit mereka boleh buat sesuka hati. Rosaklah kampung kita. Selain daripada Datuk Bandar, sahabat kita Baharin Razak, orang kuat Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan kena bagi perhatian. Kita cukup kenal sifat Baharin Razak, sahabat kita ini tidak akan bertolak ansur kalau anak buahnya ditindas atau dicabul haknya.

kita bukanlah nak menghalang warga asing berniaga atau cari rezeki tetapi biarlah ikut peraturan dan ada had-hadnya, jangan pakai sondol ikut suka hati. Kenalah sedar, seperti kata orang tua-tua, di mana bumi dipijak disitulah langit dijunjung. Warga Titiwangsa amat berharap, DBKL kenalah buat sesuatu untuk memerangi gejala-gejala buruk ini. Jangan sampai orang dah berak atas kepala, baru kita nak bertindak.

Ahad, 28 Disember 2008

MAAL HIJRAH 1430H & SELAMAT TAHUN BARU 2009















Pucuk Kepimpinan UMNO Bahagian Titiwangsa, daripada Ketua Bahagian, Dato' Seri Dr. Suleiman Mohamed, Timbalan, Dato Johari Ghani, Naib Sdr. Affendi Zahari dan seluruh Ahli Jawatankuasa mengucapkan selamat menyambut tahun baru Maal Hijrah1430 dan tahun baru 2009 kepada seluruh warga UMNO dan para sahabat di Titiwangsa, moga-moga tahun baru ini memberi keberkatan dan kekuatan kepada perjuangan kita, Insya Allah.

Jadikan tahun baru ini, untuk kita memulakan langkah baru bagi meneruskan perjuangan kita untuk merampas Titiwangsa dan menobatkan semula maruah orang Melayu dan Islam yang tercalar. Tanamkan azam, bahawa kita di Titiwangsa inilah, antara wira negara yang mesti mempertahankan kuasa Melayu di tengah-tengah kota Kuala Lumpur ini. Jika kita hancur, maka akan musnahlah masa depan orang Melayu di kota ini.

SELAMAT TINGGAL 2008

Beberapa hari ini lagi tahun 2008 akan melabuhkan tirainya, berangkat membawa bersamanya segala peristiwa pahit manis dan suka duka seluruh manusia di alam jagat ini. Kepada warga Titiwangsa, banyak kawan sahabat yang dulunya bersama, gelak hilai sekarang sudah pergi. Sama-samalah kita menghadiahkan Al Fatihah, moga-moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka.

Tahun 2008 juga, sejarah luka melanda kita di Titiwangsa. Tanah bertuah ini yang sama-sama kita bina dengan air mata selama puluhan tahun, terlepas ke tangan orang lain dalam PRU ke 12 bulan Mac lalu. UMNO yang kita junjung selama 62 tahun, lahir dan bercambah di Titiwangsa iaitu di Kelab Sultan Sulaiman ikut dilanda musibah. BN gagal memperolehi mejoriti 2/3 .

Sejak daripada peritiwa luka ini, parti kita mula dijijiki oleh orang. Hak Melayu dipersoalkan, Islam sebagai agama resmi Negara secara terang-terangan dinodai, begitu juga kedaulatan Raja-Raja Melayu telah menjadi gurau dan cemuhan. Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang di jadikan panduan dan peraturan di negara ini diejek. Bencana alam yang selama ini tidak pernah terfikir akan berlaku, datang silih berganti. Harga minyak naik melambung, begitu juga harga barang-barang keperluan. Harga minyak turun tetapi harga barangan tidak turun-turun.

Peritiwa hitam 2008, harus kita jadikan panduan, bermuhasabah diri, bukan kita sahaja, malah para pemimpin yang diamanatkan untuk menjaga dan mengurus tanah jantung ini. Jangan terabai dan terlalu terpesona dengan kilauan kuasa dan harta benda sehingga maruah bangsa tergadai dan hak kita sebagai anak peribumi yang terpahat dalam Perlembangaan Persekutuan dijadikan guraun di tepi-tepi jalan.

Warga Titiwangsa amat berharap, perubahan kepimpinan parti dan negara selepas Mac 2009, mendung hitam yang menutupi gelanggang perjuangan kita akan dapat di ceriakan kembali. Biar gendang dipalu, napiri ditiup dengan rentak dan lagu, lalu para teruna berpencak dan bersilat. Tiada lagi nada sumbang yang memisung arah, hala tuju jelas dan nyata bahawa hak Melayu mesti dipertahankan.

Kita di Titiwangsa, perjuangannya terlalu banyak yang masih belum selesai. Gelanggang harus dibuka, langkah mesti diperkemaskan. Parlimen P.119 mesti kita rampas dalam PRU ke 13 nanti. Bersatulah anak-anak Titiwangsa! Kita bergerak dan melangkah bersama, paut memaut, pimpin memimpin dan bulatkan tekad, Titiwangsa kita punya!

Sabtu, 27 Disember 2008

DATOK BANDAR LAWAT PASAR BARU KERAMAT?

Al-kisah maka tersebutlah cerita, di mana Datuk Bandar Kuala Lumpur, Dato' Fuad Ismail dua hari lepas turun padang melawat Pasar Baru Datok Keramat, tetapi sayangnya pihak DBKL tidak memaklumkan sepatahpun kepada pihak Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Datok Keramat. Kita tidak tahu di manakah silapnya maka hal ini boleh berlaku.

Kaum kerabat di Keramat tertanya-tanya apakah muslihat dan rentak lagunya, padahal semua orang tau, baru-baru ini dua orang menteri terpaksa turun sendiri untuk melihat dan menyelesaikan masalah yang di hadapi oleh masyarakat penjaja yang akan menduduki pasar tersebut. Kita rasa pelek dan ajaib, kalaulah Datuk Bandar dah turun padang ke pasar baru Datok Keramat, lagipun inilah pertama kali sejak memegang jawatan, kenapa para penjaja tidak dimaklumkan? Sedangkan pasar inilah yang menjadi pusat kepada orang Melayu menjana ekonomi dan kehidupan mereka. Bukankah pasar ini dibina untuk mereka?

Berikutan dengan perkara pelek dan ajaib ini, sahabat kita yang menjadi ketua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Datok Keramat, Saudara Shuib Chee yang lebih senang dipanggil nama manjanya "Si Awang" kabarnya sudah naik angin. Satu surat bantahan akan dihantar secara resmi kepada Datuk Bandar, datang tidak bersalam, pulang tidak bertabik. Datuk Bandar, kata Si Awang, umpama ayah kepada penjaja di Keramat, kalau ada yang tak kena pada ayahlah tempat mengadu.

Kalaulah macam ini gayanya, bagaimanakah untuk menjadi seorang ayah yang bertranggung-jawab? Kadang-kadang apabila tengok muka Si Awang tengah marah, para sahabat rasa nak tergelak juga, sebab seri mukanya merah macam bara. Walau apapun, kaum kerabat di Titiwangsa tetap berdiri di belakang para penjaja Datuk Keramat. Apabila Datuk Bandar datang, mereka tidak dimaklumkan oleh pihak DBKL, memang banyak silapnya. Bukan lagi berkecil hati malah rasa terhina. Kalaulah begini caranya, usaha kerajaan untuk menaikkan taraf ekonomi penjaja dan peniaga kecil Melayu di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur ini akan terbantut.

Cuma di pasar-pasar seperti inilah sahaja tempat mereka menumpang mencari rezeki. Untuk melangkah ke pusat-pusat membeli belah di KL ini, memang mereka tak mampu. Apa salahnya jika pihak DBKL menjadikan pasar-pasar seperti ini dijadikan tapak permulaan untuk membina ekonomi orang Melayu di bandar Kuala Lumpur ini?

Berikutan dengan kelam kelibut misteri yang melanda Pasar Baru Datok Keramat ini, pada 6 Januari 2009, Persatuan Penjaja dan Perniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan Cawangan Kampung Datok Keramat akan menyerahkan satu memorandam kepada Yang Di Pertuan Agong. Kalaulah dah tak ada lagi tempat mengadu, dua orang menteri turunpun semacam tidak diambil peduli, biarlah Kebawah Duli Yang di Pertuan Agong yang membuat keputusan.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Mangkat


AL-FATIHAH.......

Kami, seluruh warga TITIWANGSAKINI mengucapkan salam takziah kepada semua warga Negeri sembilan khususnya kepada seluruh Kerabat Diraja Negeri Sembilan diatas kemangkatan DYMM Tuanku Yang Di-Pertuan Besar Tuanku Ja'afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman pada jam 11.45 pagi 27/12/2008. Kami di TITIWANGSAKINI mendoakan semoga Roh Almarhum DYMM Tuanku dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan orang yang beriman. Amin Ya Rabbal Allamin....

Jumaat, 26 Disember 2008

RM 10 JUTA UNTUK SELESAI MASALAH PASAR BARU KERAMAT

Kita di Titiwangsa khususnya para sahabat di Kampung Datok Keramat angkat tabik kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Dato' Sri Zulhasnan Rafique kerana selepas sahaja turun padang ke Pasar Baru Keramat bersama Menteri Pembangunan Usahawan & Koperasi, Dato' Noh Omar dan bertemu dengan para penjaja secara spontan meluluskan peruntukan segera sebanyak RM10 juta bagi menyelesaikan segala tuntutanPersatuan Penjaja dan Perniaga Kecil Melayu Cawangan Datok Keramat, Wilayah Persekutuan.

Menurut para sahabat, Pasar Baru Datok Keramat dibina terlalu banyak yang tidak sesuai sebagai sebuah pasar, sudahlah makan masa puluhan tahun tak siap-siap, apabila sudah siap, banyak pula yang meyusahkan para penjaja, masalah lef yang sempit, tempat letak kereta yang tidak mengcukupi, tempat penyebelihan ayam, peti sejuk, ruang berniaga yang sempit dan macam-macam hal. Inilah padahnya kalau membuat sesuatu ikut selera sendiri tanpa mengambil kira pandangan dan pendapat orang lain khususnya para penjaja.

Walaupun kita menerima permodenan tetapi ciri-ciri tradisional sebagai sebuah pasar Melayu yang menjadi lambang perkembangan ekonomi peniaga kecil Melayu sejak zaman berzaman mesti juga diambil kira, apatah lagi ia terletak di tengah-tengah perkampungan Melayu tradisional yang menjadi lagenda di tengah-tengah Kota Kuala Lumpur.

Walau apapun, kita kaum kerabat di Titiwangsa sekali lagi angkat tabik kepada Dato' Sri Zulhasnan atas kepekaannya terhadap nasib dan masa depan para penjaja Datok Keramat. kita amat berharap dengan lulusnya peruntukan tersebut segala masalah akan selesai.




CERITA LUCU PAS LAGI?



Tiga hari lepas satu rombongan yang terdiri daripada pegawai-pegawai DBKL dan Jabatan Saliran datang melawat ke Kampung Desa Pahlawan dekat Desa Pandan untuk melihat tapak pembinaan longkang besar bagi mengelakkan banjir kilat yang selalu melanda kampung tersebut.

Al-kisah, menurut para sahabat warga Titiwangsa, maka ramailah para penyokong PAS di kampung tersebut turun untuk mengiringi pegawai-pegawai DBKL dan Jabatan Saliran, seronok sungguh, konon-kononnya projek longkang besar di Kampung Desa Pahlawan itu hasil usaha dan perjuangan YB. Dr. Lo'Lo, padahal semua orang tahu bahawa projek tersebut sudah lama diusahakan oleh kepimpinan UMNO Bahagian Titiwangsa.

Lagipun, para sahabat khususnya penduduk Desa Pahlwan cukup arif, wujudnya kampung tersebut ialah hasil jerih payah Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Dato' Seri Dr. Suleiman Mohamed, semasa menjadi Ahli Parlimen Titiwangsa dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan empat lima belas tahun yang lalu. Dulu Desa Pahlawan penuh semak samun tetapi sekarang satu lot tapak rumah sudah bernilai lebih satu juta.

Para sahabat bukanlah nak mengungkit, tapi kita tak mau, seperti kata orang tua-tua, lembu punya susu, sapi punya nama. Walaupun bukan BN jadi ahli Parlimen Titiwangsa, tetapi perjuangan untuk rakyat, tak kira bangsa dan agama, khususnya para pengundi Parlimen Titiwangsa tidak pernah luak, tidak pernah pilih bulu, yang penting ialah untuk memertabatkan Melayu kota supaya terus menjadi benting bagi mempertahankan kuasa Melayu di tengah-tengah Kota Kuala Lumpur ini. Inilah agenda utama kepimpinan UMNO Bahagian Titiwangsa!




Rabu, 17 Disember 2008

CERITA LUCU MP TITIWANGSA



Para sahabat banyak juga bertanya, apa jadi dengan Wakil Rakyat Titiwangsa, YB. Dr. Lo'Lo. Sudahlah di parlimen tak pernah buka mulut, membawa masalah yang di hadapi oleh rakyat Titiwangsa, program untuk masyarakatpun tak pernah buat. Yang ada hanya tumpang tui program yang dibuat oleh orang UMNO. Kata sahabat, kadang-kadang nak tergelak juga, setiap program yang mereka buat, ada saja muka YB. Dr. Lo'Lo, padahal mereka tidak pernah jemput.

Walau apapun, biarlah YB Dr. Lo'Lo datang, kena sambut juga, bukankah dia YB? Orang UMNO, kata para sahabat, tidak pernah pilih bulu dan boikot sapa-sapa macam MB Perak, juga dari PAS yang halau wartawan Utusan Malaysia.

Bercakap pasal PAS, para sahabat di Titiwangsa tertanya-tanya, kemanakah hala tuju perjuangan PAS sekarang? Sejak berpakat dengan PKR dan DAP, semuanya dah jadi haru-biru, Hukum Hudud entah kemana, Islam yang kononnya menjadi inti pati perjuangan PAS, iman dan takwa dah bercelaru. Kalau benar-benar PAS meletakkan Islam dan bangsa Melayu sebagai roh perjuangan mereka, kenapa mengunci mulut apabila para sahabatnya dalam Pakatan Rakyat 
mencemuh Islam dan orang Melayu? Mempersoalkan Hak Ketuanan Melayu, hukum hakam nikah kahwin dalam Islam, Selangor yang bebas jual arak, kenapa Dr. Hassan Ali, Ketua PAS Selangor yang selama ini berdegar-degar bercakap pasal hukum hakam Islam membisu seribu bahasa? Badan-badan bukan kerajaan yang pro Parti Pakatan Rakyat yang persoalkan kewibawaan Majlis Fatwa Kebangsaan, persoalkan hak Hak Kedaulatan Raja-Raja Melayu dan macam-macam lagi. Kenapa pucuk kepimpinan Parti Islam itu hanya buat lembu kenyang?

Apakah benar desas-desus angin malam yang bertiup dari Negeri Cik Siti Wan Kembang, PAS sekarang ini sudah ada dua puak. Satu puak ulama dan yang satu lagi puak leberal yang terdiri daripada golongan profesional. Kedua-dua puak ini tidak sebulu, bercanggah pendapat tentang hala tuju kepimpinan parti. Puak ulamak tetap dengan Islam sebagai tunjang perjuangan mereka semantara puak profesional ini lain pula, mereka lebih leberal dan mahu PAS diminati oleh semua kaum dan agama. Kata mereka, kalau PAS masih juga dengan cara lama, parti ini tak ada masa depan.

Entah betul atau tidak, Wallahualam! Walau apapun terpulanglah kepada kepimpinan Dewan Ulamak PAS

TAHNIAH DATUK BANDAR BARU


Warga Titiwangsa mengucapkan tahniah dan syabas kepada Datuk Ahmad Fuad Ismail yang telah dilantik menjadi Datuk Bandar Kuala Lumpur yang ke 9 mengantikan Datuk Ab. Hakim Borhan yang bersara. Adalah menjadi harapan kepada seluruh warga Titiwangsa supaya Datuk Ahmad Fuad dapat menumpukan perhatian dalam usaha untuk membina kehidupan  Melayu Kota yang sekarang ini semakin terhimpit.

Peniaga-peniaga asing semakin bermarajalela, bukan sahaja menguasai persekitaran Jalan Chow Kit, malah banyak rumah-rumah kediaman di kawasan Kampung Pandan, Datok Keramat dan Kampung Baru yang disewakan kepada mereka telah diubah suai untuk dijadikan peremis perniagaan. Nampak benar buruknya. Setahu kita, bukankah ada undang-undang dan peraturan yang telah di tetapkan oleh DBKL? Kenapa tak bertindak? Banyak benar yang mesti diselesaikan oleh Datuk Baandar KL yang baru ini.

Kita juga amat berharap krisis yang di hadapi oleh para penjaja Kampung Datok Keramat mengenai pasar baru mesti diberi perhatian yang serius. Menurut para sahabat dari pasar Datok Keramat, banyak benda yang tak sesuai dan menyukarkan para peniaga. Kitapun tak tahu kenapakah ketika pasar ini nak dibuat langsung tak ambil kira pandangan dan pendapat para penjaja. Akitek bukan boleh ikut kepala sendiri saja, sikit sebanyak kena berbincang dengan para penjaja sebab mereka yang akan berniaga di situ.

Kabarnya, para sahabat dari Persatuan Penjaja Datok Keramat dah banyak kali berbincang dan berdailog dengan pihak DBKL, pun tak selesai-selesai, sampai Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique dan Menteri Pembangunan Usahawan & Koperasi, Datuk Noh Omar terpaksa turun padang menyaksi sendiri demotrasi punggahan barang, lef yang terlalu kecil, tempat letak kereta yang terhad, tempat sembelihan ayam tidak tersusun dan lain-lain.

Kita amat berharap Datuk Bandar yang baru ini dapat memberi perhatian yang serius tentang masalah yang di hadapi oleh para sahabat kita di Kampung Datok Keramat ini kerana merekalah di antara tenaga pengerak kepada perkembangan ekonomi orang Melayu di kota ini. Kita ucap selamat bertugas! Jangan lupa nasib penjaja Jalan Chow Kit, jangan biarkan mereka terpinggir di tanah air sendiri dan pendatang asing pula yang jadi tuan!

Isnin, 15 Disember 2008

NAIB PRESIDEN JADI CERITA PANAS

Cerita mengenai pemilihan Naib Presiden jadi cerita panas di kalangan para sahabat di coffee house. Antara tujuh calon Naib Presiden yang layak bertanding setakat ini, yang top naik nama cuma tiga orang, iaitu Dato Seri Hishammuddin, Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Dato Shafie Afdal. Akhir-akhir ini nama Dato Seri Khaled Nordin tiba-tiba melonjak naik. Entah apa daulat dan berkatnya, para sahabat tak dapat nak fikir.

Seorang sahabat dari Johor yang dulunya pengikut setia Dato Seri Hishamuddin yang dah mula tukar kapal memberitahu, punca dan sebabnya kerana kononnya Dato Hisham lemah ketika memimpin Pemuda. Ketika Melayu dikecam, Pemuda di bawah kepimpinan Dato Hisham terkunci mulut, hanya sibuk dalam akhbar saja. Yang lebih memalukan katanya, cepat sangat minta maaf pasal keris. kalau Pemuda tak boleh nak bawa macam mana nak bawa Melayu? Sebab apabila jadi Naib Presiden Parti, jalan untuk jadi pemimpin negara dah mula dekat.
Sekarang ini Dato Hisham jangan naik toncang sangat sebab Dato Khaled Nordin dah masuk gear lima.

Para sahabat yang lain tak berani nak komen, sebab lumrahnya, kalau dulu sanggup letak nyawa untuk Dato Hisham, sekarang dah tukar tauke, mesti ada benda yang tak kena. Sesungguhnya orang yang perangai macam ini cukup banyak muncul dalam setiap kali ada pemilihan parti. Kebanyakan lembu, jika kita kurang jaga rumputnya, mulalah dia memekak.

Walau bagaimanapun, kita kena ambek kiranya juga kata sahabat dari JB tu, sebab ada kalangan sabat dari Utara dan Pantai Timur memberitahu, kebanyakan perwakilan dahpun set dalam kepala, Dato Zahid kena menang, Dato Shafie pula kena bagi menang juga kerana balas jasa orang Sabah. Kalau tidak kerana Sabah kita tak boleh tubuh kerajaan pada pilihan raya yang lalu. Pada peringkat awal Dato Hisham memang top, tetapi entah apa silapnya akhir-akhir ini nama Dato Khaled Nordin jadi bualan.

Kata para sahabat, tak kan dua-dua Naib Presiden nak bagi kepada orang Johor? Rais Yatim apa kurangnya? Begitu juga dengan Tan Sri Rahim Thamby Chik yang tunggu bonos satu pencalonan lagi untuk cukup kota, sedangkan dua bahagian lagi masih belum bersidang.... bersambung

Khamis, 11 Disember 2008

Bukit Antarabangsa


Tahniah kepada KP Titiwangsa bersama rakan2 yg lain kerana sudi membantu mangsa kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. Walaupun bantuan anda tidak seberapa tetapi saya berasa bangga dgn inisiatif dan komitmen yg telah dilakukan oleh semua.
Saya juga berharap bantuan ini juga akan dilakukan kpd warga Titiwangsa bila diperlukan nanti.
TAhniah Pemuda UMNO TITIWANGSA...
Takziah juga kpd semua mangsa tragedi saya berharap anda bersyukur diatas bantuan yg telah diberikan dan redha diatas apa yg telah berlaku....

Selasa, 2 Disember 2008

LAMAN WEB PEMUDA TITIWANGSA

SALAM SEMUA SAHABAT. MASA YANG DINANTI-NANTIKAN TELAH TIBA.

semasa saya mencari-cari laman web @ sesawang berkaitan web pemuda titiwangsa, akhirnya saya berjumpa juga. http://www.pemudatitiwangsa.com/ saya tidak tahu mengapa laman web ini tidak disebarkan kepada umum. seperti saya yang menantikan pengumuman yang akan dibuat oleh pemuda titiwangsa berkaitan laman web ini.

dimanakah silapnya saya pun tak pasti. saya ternanti nanti juga dilaman blog titiwangsakini tentang pengumuman oleh biro yang berkaitan. tetapi tiada. harap perkara sebegini tidak berulang kerana maklumat amat penting untuk kita mengetahui program yang akan dilaknasakan. kini http://www.pemudatitiwangsa.com/ telah beroperasi. mungkin juga pengendali blog titiwangsakini tidak mengetahui kewujudannya. selamat melayari http://www.pemudatitiwangsa.com/

tahniah kepada barisan exco kerana dapat merealisasikan web untuk pemuda UMNO titiwangsa.

PEMUDA HARAPAN NEGARA

http://www.pemudatitiwangsa.com/