Sabtu, 27 Disember 2008

DATOK BANDAR LAWAT PASAR BARU KERAMAT?

Al-kisah maka tersebutlah cerita, di mana Datuk Bandar Kuala Lumpur, Dato' Fuad Ismail dua hari lepas turun padang melawat Pasar Baru Datok Keramat, tetapi sayangnya pihak DBKL tidak memaklumkan sepatahpun kepada pihak Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Datok Keramat. Kita tidak tahu di manakah silapnya maka hal ini boleh berlaku.

Kaum kerabat di Keramat tertanya-tanya apakah muslihat dan rentak lagunya, padahal semua orang tau, baru-baru ini dua orang menteri terpaksa turun sendiri untuk melihat dan menyelesaikan masalah yang di hadapi oleh masyarakat penjaja yang akan menduduki pasar tersebut. Kita rasa pelek dan ajaib, kalaulah Datuk Bandar dah turun padang ke pasar baru Datok Keramat, lagipun inilah pertama kali sejak memegang jawatan, kenapa para penjaja tidak dimaklumkan? Sedangkan pasar inilah yang menjadi pusat kepada orang Melayu menjana ekonomi dan kehidupan mereka. Bukankah pasar ini dibina untuk mereka?

Berikutan dengan perkara pelek dan ajaib ini, sahabat kita yang menjadi ketua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Datok Keramat, Saudara Shuib Chee yang lebih senang dipanggil nama manjanya "Si Awang" kabarnya sudah naik angin. Satu surat bantahan akan dihantar secara resmi kepada Datuk Bandar, datang tidak bersalam, pulang tidak bertabik. Datuk Bandar, kata Si Awang, umpama ayah kepada penjaja di Keramat, kalau ada yang tak kena pada ayahlah tempat mengadu.

Kalaulah macam ini gayanya, bagaimanakah untuk menjadi seorang ayah yang bertranggung-jawab? Kadang-kadang apabila tengok muka Si Awang tengah marah, para sahabat rasa nak tergelak juga, sebab seri mukanya merah macam bara. Walau apapun, kaum kerabat di Titiwangsa tetap berdiri di belakang para penjaja Datuk Keramat. Apabila Datuk Bandar datang, mereka tidak dimaklumkan oleh pihak DBKL, memang banyak silapnya. Bukan lagi berkecil hati malah rasa terhina. Kalaulah begini caranya, usaha kerajaan untuk menaikkan taraf ekonomi penjaja dan peniaga kecil Melayu di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur ini akan terbantut.

Cuma di pasar-pasar seperti inilah sahaja tempat mereka menumpang mencari rezeki. Untuk melangkah ke pusat-pusat membeli belah di KL ini, memang mereka tak mampu. Apa salahnya jika pihak DBKL menjadikan pasar-pasar seperti ini dijadikan tapak permulaan untuk membina ekonomi orang Melayu di bandar Kuala Lumpur ini?

Berikutan dengan kelam kelibut misteri yang melanda Pasar Baru Datok Keramat ini, pada 6 Januari 2009, Persatuan Penjaja dan Perniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan Cawangan Kampung Datok Keramat akan menyerahkan satu memorandam kepada Yang Di Pertuan Agong. Kalaulah dah tak ada lagi tempat mengadu, dua orang menteri turunpun semacam tidak diambil peduli, biarlah Kebawah Duli Yang di Pertuan Agong yang membuat keputusan.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

saya pernah cakap dulu, dato bandar baru ni bukan boleh pakai sangat semangat melayu nya.

Tanpa Nama berkata...

nama pon naga besau...