Jumaat, 23 Januari 2009

PESTA TANGKAP ORANG UMNO RASUAH POLITIK

Setelah BN tewas di Parlimen Kuala Terangganu dalam pilihan raya kecil baru-baru ini, sekarang bermula pesta tangkap orang UMNO kerana rasuah politik. Kita sanjung tinggi di atas usaha ini, tetapi kita juga tertanya-tanya apakah usaha ini boleh memulihkan imej UMNO atau boleh memberi keyakinan baru rakyat kepada UMNO yang sekarang ini umpama pintalan tali yang sudah hampir terurai simpulnya.


Para sahabat di Titiwangsa melihat perkara ini bukannya satu usaha pemulihan tetapi lebih memberi kesan buruk kepada UMNO itu sendiri. Dalam keadaan rakyat yang semakin hilang kepercayaan kepada UMNO mereka akan lebih menyampah dan jijik, apakah maruah seorang ahli UMNO hanya boleh dibeli dengan harga dua tiga ratus ringgit? Atau empat lima ratus ringgit?

Memang kita tidak boleh napikan, semua parti politik tidak boleh lari daripada penggunaan wang ringgit dalam setiap kali pemilihan di adakan tetapi mereka tidak gembar-gemburkan. Kerana ini sama ada mahu atau tidak, ludahnya akan jatuh ke muka sendiri. Orang politik bagi rasuah kena tangkap, tetapi lain-lain kes yang kita selalu dengar, yang menerima rasuah kena tangkap semantara yang memberi jarang benar kita dengar yang kena tangkap. Kita juga bimbang, kerana terlalu ngairah tangkap orang UMNO bagi rasuah dua tiga ratus, kes-kes rasuah yang lebih besar akan terus berleluasa.

Kita juga tertanya-tanya, kenapakah dalam saat-saat UMNO tengah meruncing, baru sekarang nak tangkap orang politik bagi rasuah? Sedangkan semua orang tahu, kerja-kerja seperti ini sudah lama berlaku, sudahpun menjadi barah dalam kehidupan politik orang UMNO. Bukan mudah untuk mencegahnya kerana ia seolah-olah sudah menjadi satu acuan, walau apapun ramuan atau rempah ratus yang diuli, kalau acuannya kuih pau maka bentuk kuih paulah yang menjadi.

Kalaulah tindakan menangkap orang UMNO yang memberi rasuah ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk memulihkan imej parti, kita melihat ini satu kerja yang bukan sahaja memalukan diri sendiri malah kesannya tidak akan kemana. Manusia yang berkehendakkan sesuatu, biasanya mereka akan melakukan apa sahaja asalkan apa yang mereka cita-citakan itu tercapai. Yang sabit kesalahan kerana dadah dihukum mati tapi manusia terus juga membawa dadah. Begitu jugalah yang berlaku di kalangan sesetengah orang UMNO. Kerana inginkan kuasa, mereka sanggup melakukan apa saja. Kuasa yang mereka perolehi nanti merupakan satu pelaburan besar yang akan dapat mengembalikan semula segala yang dilaburkan.

Inilah penyakit yang melanda UMNO sehingga hari ini rakyat semakin hilang keyakinan kepada UMNO padahal mereka tahu dan cukup insaf, UMNO merupakan sebuah parti yang menjadi tulang belakang kepada orang Melayu. Mereka tahu dan tidak boleh nafikan bahawa terlalu banyak jasa UMNO kepada negara, agama dan bangsa dan mereka juga tahu UMNO lah yang memberi kemewahan dan kesenangan kepada mereka selama ini, tetapi sudah menjadi lumrah dalam setiap kehidupan, setiap yang bermula sudah pasti ada akhirnya, setiap pangkal ada hujungnya, setiap lautan ada pantainya.

Jika mereka sudah tidak sanggup lagi melihat pelbagai kerenah yang menyakitkan mata dan melukakan hati sanubari, apatah lagi suara dan rintihan mereka tidak pernah dipedulikan, walaupun kecewa dan menangis mereka akan pergi meninggalkan kita. Melayu sudah terluka dan lukanya amat parah. Sebab itu, banyak suara bukan sahaja dari kumpulan akar umbi malah pucuk kepimpinan parti sendiri yang sedar bahawa UMNO mesti ditukar acuannya, tetapi kita hanya banyak bercakap, tetapi tindakan dan pelaksanaannya tidak pernah dilakukan.

Kita melihat, inilah cabaran terbesar kepada kepimpinan baru parti selepas bulan Mac ini. Jika kita hanya bercakap dalam media massa, berceramah hanya tunjukkan gaya tetapi usaha menangani secara lebih serius tidak dilaksanakan daripada sekarang, PRU 13 UMNO akan kehilangan kuasa! Kita sedar, dalam PRU 12 UMNO hampir kecundang, dan kita juga sudah kenal pasti, UMNO telah kehilangan banyak pengundi muda. Maka bercakaplah kita dalam media massa, pelbagai uasaha diatur dan disusun untuk menarik orang muda supaya sayangkan UMNO, tetapi sehingga sekarang kita tidak pernah nampak dengan jelas usaha itu dilaksanakan.

Apakah usaha Kementerian Belia dan Sukan misalnya. Sebuah kementerian yang diamanahkan untuk melahirkan kumpulan belia yang akan menjadi perwaris kepimpinan negara. Kita tidak nampak dengan jelas usaha kearah ini dibuat oleh kementerian tersebut. Yang jelas hanya tertumpu kepada bidang sukan. Itu pun tidak menjadi walaupun terpaksa mengeluar belanja ratusan juta. Pembangunan yang menelan belanja ribuan juta ringgit bukannya penentu untuk memikat hati rakyat supaya kembali kepada BN khususnya UMNO, contohnya dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu baru-baru ini. Kepimpinan UMNO harus mencari pendekatan baru yang lebih menjurus kepada kemanusiaan sejagat. Kalau selama ini kita berjalan hanya mendongak ke langit, tunduk-tunduklah ke bumi!

1 ulasan:

Mastor Yus berkata...

Ni Lah yang dikatakan walau pahit di telan jua... cuma SPRM kena lebih telus kerana ikan-ikan besar masih bermaharaja lela... anda kena bertindak segera sebelum diaorang ni keluar silat dan kuntau-kuntau yang power.. time tu dah tak guna dah..

Mudah-mudahan UMNO tidak akan lagi dipenuhi oleh pemimpin yang oputunis dan syok sendiri