Ahad, 1 Mac 2009

APAKAH FORMULA UNTUK MEMULIHKAN KEYAKINAN RAKYAT KEPADA UMNO?

Kemana-mana kita pergi sekarang ini, kita akan mendengar orang bercakap, satu usaha bagi memulihkan keyakinan rakyat kepada UMNO mesti dilakukan. Kalau tidak, musibah besar akan melanda UMNO dalam PRU13 nanti. Setakat hari ini, kita masih belum nampak dengan jelas usaha yang dibuat kearah itu. Yang jelas, kita nampak setakat ini, orang UMNO hanya banyak bercakap.

Sogokan dengan pelbagai projek pembangunan, peruntukan kewangan dan pelbagai kemudahan ternyatakan tidak memberi kesan dalam usaha pemulihan itu. Satu contoh dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu tidak lama dulu. Dalam sekelip mata kerajaan terpaksa mengeluarkan ratusan juta ringgit untuk memberi sumbangan kepada sekolah-sekolah Cina di Kuala Terengganu bagi menarik lebih daripada lapan ribu pengundi Cina supaya menyokong BN.

Tetapi ternyata, apabila tiba hari membuang undi, yang turun tak sampai dua ribu. Yang mengundipun mereka sokong PAS. Bayangkan, tidak pernah berlaku dalam sejarah politik negara orang bukan Melayu mengundi PAS. Mereka cukup takut dengan idealogi yang dibawa oleh PAS. Hukum Hudud sudah cukup mengerikan orang-orang bukan Melayu, apatah yang lain-lain. Tetapi kenapa mereka sokong PAS.

Seorang veteran UMNO, teman rapat Allahyarham Pak Sako ketika ditemui di sebuah surau di Hulu Langat memberitahu, UMNO sudah cukup bercelaru sekarang ini. Menurutnya, rakyat Malaysia khususnya orang Melayu hari ini sudah menjadi tiga puak.

Kumpulan pertama, ialah yang terawal, terdiri daripada orang Melayu yang terasuh dengan sekolah pondok dan belajar agama melalui ceramah agama di surau-surau di kampung. Mereka ini tidak banyak kerenah tentang kehidupan, asal cukup makan makan ala kadar, Alhamdulillah.

Golongan ini sudah terasuk oleh PAS, menjadi pengikut PAS yang cukup fanatik dan taksub dengan pemimpin mereka. Bom meletup atau langit runtuh di depan mereka sekalipun mereka tidak ambil kisah, yang penting PAS adalah parti Islam yang akan memberi pas percuma kepada mereka untuk masuk syurga.

Mereka ini pantang dicabar. Sanggup melakukan apa sahaja. Contohnya, peristiwa berdarah Memali Kedah tidak lama dulu. Yang terbaru di Perak. Mereka sanggup berbaring atas jalan raya di tengah terik matahari kerana mempertahankan Mohammad Nizar, bekas MB Perak yang sekarang ini menjadi MB negeri orang bunian. Mereka tidak peduli Mohammad Nizar itu hanya jadi MB tetapi yang menjadi pemerintah sebenarnya ialah DAP. Yang mereka nampak Mohammas Nizar orang PAS.

Mereka juga tidak mahu mengambil tahu bagaimana DAP bawa pisang ke tokong dan ke kuil, seronok kerana agenda mereka untuk menghancurkan negara ini hampir tercapai, apabila melihat Melayu sama Melayu akan bermandi darah.

Golongan yang kedua ialah anak muda generasi baru negara. Golongan ini terbahagi kepada dua kumpulan. Pertama ialah golongan yang anti establishment yang merasakan diri mereka lebih pandai dan manusia yang serba tahu segala-galanya. Kebanyakan golongan ini menyokong pembangkang dan melibatkan diri dalam NGO berhaluan kiri.

Semantara satu puak lagi kononnya mahu jadi tokoh korporat muda. Orang koporat, mana ada masa untuk ambil tahu hal remeh-temeh? Mengundi tidak, apapun tidak. Karpal Singh nak memekak sampai naik birat bibir mulut, mereka apa peduli? Inilah ruginya orang muda jenis ini.

Yang selebihnya ialah orang Melayu dalam UMNO. Inipun pecah dua. Satu kumpulan terdiri daripada para pejuang sejati. Tokoh nasionalis yang menganggap UMNO merupakan anugerah Ilahi kepada orang Melayu supaya menjadikan UMNO ini sebagai satu kuasa bagi memperjuangkan bangsa, agama dan negara. Walaupun terpinggir dan tidak pernah mendapat apa-apa habuan daripada perjuangannya, mereka terus bergerak dan berjuang bersama UMNO.

Golongan yang kedua, lebih ramai dan berkuasa ialah menjadikan UMNO sebagai jambatan untuk membina kekayaan. Mereka melihat UMNO itu sebagai sebuah lombong intan berlian. Kenapa tidak? Mereka melihat para sahabat dan teman di sekeliling yang dulunya pakai Proton buruk apabila dapat sedikit kuasa dalam UMNO, segala-galanya berubah dalam sekelip mata. Bukan sehaja di segi kemewahan hidup, mereka juga cepat jadi sombong dan angkuh.

Kerana wang, golongan inilah yang akan menguasai UMNO. Mereka boleh beli ahli UMNO dengan nilai hanya seratus dua ratus ringgit. Nilai dan harga maruah seorang ahli UMNO sekarang cukup murah! Apabila pucuk pimpinan lemah, dan tidak bermaya, akan lebih bermaharajalelalah mereka seperti yang berlaku di tingkat empat pejabat Perdana Menteri sekarang ini. Mereka lebih berkuasa daripada seorang Perdana Menteri.

Inilah golongan parasit yang mengakibatkan kebanyakan orang Melayu benci dan jijik dengan UMNO. Antara formula untuk membina semula kekuatan parti dan memulihkan keyakinan rakyat khususnya orang Melayu kepada UMNO, ialah hapuskan golongan ini. Hentikan perangai buruk banyak bercakap, tetapi tumpu kepada kerja-kerja membina bangsa dan negara.

Tiada ulasan: