Rabu, 25 Februari 2009

GOSIP "TOK SELAMPIT"


IBRAHIM ALI KECIL HATI DENGAN UMNO

Nama Tok Him, panggilan kepada Dato Ibrahim Ali oleh para sahabat yang rapat dengannya melonjak dengan tiba-tiba berikutan cabaran Tok Guru Nik Aziz mencabarnya supaya meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Pasir Mas kerana marah, Tok Him belasah Ahli Parlimen PAS di Dewan Rakyat.

Berikutan dengan kejadian ini, maka UMNO mempelawa Dato Ibrahim Ali supaya kembali semula ke pangkuan UMNO kerana UMNO sekarang amat memerlukan orang-orang seperti Ibrahim Ali bagi memantapkan parti tersebut. Menurut para sahabat, Tok Him terpaksa berfikir seribu kali untuk berpatah balik kerana apa yang dilakukan oleh pucuk kepimpinan UMNO keatas dirinya selama ini bukan mudah dilupakan.

Hati yang terluka dan tergoris bukan mudah terubat. Tok Him, menurut para sahabat yang rapat dengannya amat berkecil hati kepada UMNO. Dia dijadikan kain buruk ketika tidak dikehendaki, sekarang apabila UMNO tengah tersepit ia dipujuk rayu. Air mata Tok Him terlalu banyak tertumpah kerana UMNO. Sayangnya kepada UMNO tidak pernah luak kerana sebagai orang Melayu yang berpegang teguh kepada budaya dan susila bangsa, jasa dan budi tetap dikenang. Tok Him sedar bahawa UMNO lah yang membina kerjaya politiknya.

Tok Selampit lebih rela jadi katak kerana memperjuangkan maruah Melayu daripada jadi ular sawa kenyang untuk kumpul harta kekayaan.


PAK LAH AKAN TERUS JADI PM?


Susik-susik daripada kalangan sahabat bercerita, kononnya Pak Lah tak akan letak jawatan sebagai Perdana Menteri selepas pemilihan UMNO bulan Mac ini. Susik-susik ini semakin panas apabila Tun Dr. Mahathir dalam blognya menceritakan bagaimana budak-budak tingkat empat sedang berusaha menyusun langkah untuk memastikan Pak Lah terus menjadi Perdana Menteri, walaupun Dato Seri Mohd. Najib menjadi presiden parti.

Usaha ini dibuat oleh tingkat empat menurut Tun Dr. Mahathir, apabila Pak Lah bukan lagi menjadi PM peluang mereka untuk itu dan ini akan tertutup. Menjadi Presiden UMNO tidak semestinya terus menjadi Perdana Menteri. Ia bukan sahaja tidak tertulis dalam perlembagaan, dalam perturan partipun tidak ada.

Jika cerita "tingkat empat" ini benar, menurut para sahabat, alamatnya akan huru-haralah negara. Tetapi kita cukup yakin, P
ak Lah orang baik dan beriman. Lagipun kita masih tak lupa puisi Pak Lah ketika mula-mula memegang jawatan PM dulu, antaranya Pak Lah mencari Imam Shafie bukan mencari harta bertimbun-timbun.

Tok Selampit harap cerita Pak Lah nak terus jadi PM ini hanya gosip kedai kopi.


SYABAS KEPADA PENIAGA-PENIAGA PASAR KERAMAT

Kita mengucapkan syabas dan tahniah kepada para peniaga Pasar Datuk Keramat kerana telah berjaya menubuhkan koperasi mereka sendiri. Para sahabat merasakan usaha yang dilakukan oleh sahabat kita Baharim Razak, Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan amat baik dalam usaha menjana ekonomi orang Melayu khususnya penjaja dan para peniaga kecil yang kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu.

Kita amat berharap, penubuhan koperasi ini bukan sahaja di pasar Datuk Keramat, kalau boleh mengcangkupi Koperasi Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan. Warga Titiwangsa juga mengucapkan terima kasih kepada Dato Noh Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang begitu cepat memberi perhatian dan meluluskan permohonan penubuhan koperasi para peniaga kecil di pasar Keramat.

Tok Selampit nampak sejak Dato Noh di MeCd, banyak benar perubahan yang berlaku.


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ok la kalau banyak perubahan.... jangan ada udang sebalik mee dah la.... Tahniah Dato' Noh Omar...