Rabu, 15 April 2009

KENAPA MUHYIDDIN TAKUT UNTUK DEDAHKAN KEBENARAN?

Perlukah seorang pemimpin sebuah parti Melayu yang mendominasi Parlimen berbincang dan meminta pendapat para pemimpin parti komponen terlebih dahulu sebelum bercakap atau mendedahkan kelemahan dan kepincangan parti tersebut? Sedangkan apa yang didedahkan itu benar dan nyata. Apakah pernah para pemimpin parti-parti komponen berbincang dan meminta pendapat daripada pemimpin UMNO sebelum mereka bercakap dan mempersoalkan hak orang Melayu?

Apakah seorang pemimpin parti yang menjadi tulang belakang kepada kerajaan takut untuk menangani segala kerenah parti-parti komponen yang tidak puas-puas menuntut itu dan ini seperti Belanda minta tanah, diberi betis nakkan paha. Apakah perasaan satu atau dua orang dalam parti-parti komponen ini lebih penting daripada menjaga perasaan jutaan rakyat di negara ini yang cintakan sebuah kehidupan yang cermelang, aman dan damai?

MIC mempertingkaikan kenapa wakilnya tidak menjadi menteri kanan dalam kabinet iaitu Kementerian Kerja Raya. Apakah MIC ingat, Menteri Kerja Raya ini dijadikan Tuhan hanya untuk MIC saja, orang lain tidak boleh? Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang menjadi tunjang kekuatan BN di Serawak juga ikut persoalkan kenapa wakil Melayu Serawak yang jadi menteri tidak ada? Cuma timbalan menteri, sedangkan di Sabah ada, iaitu Dato Seri Shafie Afdal.

Apakah mereka ini tidak terfikir bagaimanakah perasaan orang-orang UMNO sendiri yang jadi Ahli Parlimen dan menang MT, berjuang dalam parti puluhan tahun tidak dilantik jadi menteri kabinet, sedangkan yang tewas dalam pilihan raya dan MT dan ada juga yang tak buat apa-apa dalam parti tiba-tiba terpilih jadi menteri penuh. Bagaimanakah perasaan mereka ini? Tetapi kerana parti dan menerima gagasan Dato Seri Najib sebagai Presiden Parti dan Ketua Negara yang meletakkan kepentingan rakyat melebihi daripada segala-galanya, mereka akur dan menerimanya walaupun terluka dan tercalar.

Pelbagai pertanyaan datang dalam benak kepala Tok Selampit apabila melihat Tan Sri Muhyiddin begitu cepat mengelabah dan tak tentu arah apabila tegurannya terhadap prestasi jentera parti-parti komponen dalam kempen pilihan raya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau telah dijadi isu perkauman oleh akhbar-akhbar Cina, sedangkan teguran itu satu kenyataan berdasarkan kajian yang dibuat. Kalau benar kenapa takut?

Para sahabat tertanya-tanya kenapa Tan Sri Muhyiddin yang setakat hari ini kita kenal sebagai seorang pemimpin Melayu yang berani dan tegas tiba-tiba jadi kelam-kelibut dan terpaksa minta pandangan Presiden MCA, Dato Ong Tee Keat, seolah-olah orang Cina di Malaysia ini merupakan penentu untuk segala-galanya. Apakah kepentingan mereka ini lebih penting diutamakan dan tak boleh ditegur walaupun mereka buat salah? Bagaimana pula perasaan orang Melayu khususnya ahli UMNO yang menaruh harapan dan kepercayaan yang besar kepada Tan Sri Muhyiddin? Kenapa jadi kecuh dan cepat mengelabah, sedangkan apa yang berlaku di kedua-dua bukit itu memang benar.

Kita bimbang, Tan Sri Muhyiddin yang diharap-harapkan menjadi wira orang Melayu akan mengulangi peristiwa "keris Pemuda UMNO" yang jelek dan memalukan. Jangan terulang lagi kesilapan yang lalu, kerana nak jaga hati orang lain, Melayu diijak dan dihina.

Tok Selampit --- Tan Sri, jangan musnahkan harapan orang Melayu!

Tiada ulasan: