Khamis, 23 April 2009

PENGERUSI BADAN PERHUBUNGAN : KEPALA KERETA API PAKAI ARANG BATU KENA UNDUR

Siapakah peneraju kepimpinan UMNO di peringkat negeri, Setiausaha Agong, Ketua Penerangan dan Bendahari? Kabarnya esuklah penentunya. Jumaat hari keramat yang cukup baik untuk membuat sesuatu pemilihan yang penting. Apa yang kita harap-harapkan, mereka yang dipilih sudah pasti dapat merealisasikan tranformasi yang terpahat dalam gagasan besar Dato Seri Najib.

Kiranya ada sesetengah peneraju kepimpinan parti di peringkat negeri yang boleh di ibaratkan seperti kepala kereta api yang masih pakai arang batu, kalau tidak terlantik, kenalah akur dan menerima kenyataan. Jangan pula di depan angguk tetapi apa yang tersirat di hati terpintal pelbagai dendam dan dengki khianat seperti yang berlaku di Terangganu.

Ketika Dato Seri Najib memeras otak untuk membina semula kekuatan parti dan kerajaan, tiba-tiba sepuluh ADUN tak datang ke persidangan Dewan Undangan Negeri, termasuklah Dato Idris Jusoh, bekas MB. Kononnya takut keselamatan terancam berikutan SMS ugut mau bunuh mereka. Tua-tua Tok Selampitpun taklah sepengecut sepuluh ADUN ini. Seorang pemimpin yang hebat ialah meletakkan nyawa di hujung pedang, kepentingan rakyat yang memilih kita mesti di utamakan, walau apa cara sekalipun. Pemimpin, kepada Tok Selampit ialah seorang pengelima perang, tetapi yang kita rasa nak tergelaknya, baru saja terima SMS dahpun mengigil berkurung dalam kelambu. Ada percaya ke? Pemimpin seperti ini cukup tidak sesuai dalam era kepimpinan Najib.

Menyentuh tentang pemilihan peneraju dan pengurusan tertinggi parti, Tok Selampit dengan rendah hati suka nak cadangkan kepada Dato Seri Najib supaya memastikan perlantikan Setiausaha Agong UMNO mestilah seorang yang benar-benar berkemampuan dan mempunyai ketelusan hati dalam mentafsirkan segala gagasan presiden parti. Bersih daripada semua gejala buruk, skendal amalan rasuah dan kes-kes mahkamah.

Tanggung-jawab seorang Setiausaha Agong amat penting kepada parti kerana idividu ini merupakan jambatan penghubung antara pucuk kepimpinan parti dengan kumpulan akar umbi. Elakkan daripada amalan buruk membina puak dan orang kiri kanan yang menjadi tukang hasut. Apabila berpuak-puak, akan berlakulah pelbagai kerja-kerja jahat, mengadu domba, fitnah memfitnah, pijak memijak dan "cas kenting" kawan-kawan. Jika ini berlaku maka akan jadi sia-sialah segala gagasan dan usaha murni Najib untuk pemulihan parti. Hasilnya UMNO tetap tidak berubah.

Dato Seri Najib mesti berani bertindak membuang buah-buah busuk yang berulat ini dalam era kepimpinannya sesuai dengan gagasannya yang mentahtakan rakyat dan kumpulan akar umbi dalam parti sebagai sasaran utama dalam setiap inci perjuangan dan kepimpinannya. Dato Seri tentunya lebih maklum dan cukup arif tentang segala perangai buruk dan kerenah orang-orang UMNO. Jangan musnahkan segala cita-cita dan hasrat murni ini. Jangan cepat terpedaya dengan budaya orang UMNO yang berebut dan berterak-terak nak cium tangan sedangkan dalam hati, Allah sahaja yang maha mengetahuinya.

Tok Selampit --- akar dan umbi antara ciri-ciri terpenting dalam proses kesuburan sebatang pokok.

Tiada ulasan: