Rabu, 22 April 2009

MELAYU, BERSATULAH!

Konspirasi untuk menghuru-harakan negara ini sebenarnya sudah lama wujud. Walaupun Parti Komunis puluhan tahun telah diharamkan dan darurat sudah berakhir, tetapi cetusan ideologi komunis terus membara, meresap ke dalam pelbagai organisasi, sama ada pertubuhan politik ataupun NGOs termasuk badan-badan sosial budaya. Kepada mereka, gagal sekali, bukan bermakna gagal untuk selama-lamanya. Pelandok selalu lupakan jerat tetapi jerat tidak pernah lupakan pelandok.

Pelbagai usaha telah dibuat, tetapi ternyata usaha daripada luar untuk memusnahkan negara ini tidak berhasil. Kekuatan Melayu bukan mudah dilentur. Walaupun mereka berlainan fahaman politik tetapi apabila berhadapan dengan ancaman musuh dari luar mereka bertaut seperti kiambang yang hanyut di kolam. Pegangan agama juga merupakan benteng keramat kekuatan Melayu. Apabila bergema laungan Allahuakhbar, Melayu akan menjadi kumpulan singa yang hauskan darah. Biar putih tulang asalkan jangan putih mata! Inilah sumpah Melayu.

Institusi Kesultanan yang memayungi temadun Melayu sejak 600 tahun yang lalu juga merupakan azimat kepada kejantanan dan kekuatan Melayu. Semangat Melayu sentiasa membara dicetuskan melalui ceramah-ceramah agama dan tebaran berita daripada sebuah akhbar Melayu yang tidak pernah letih dalam memikul tanggung-jawabnya menjadi wadah perjuangan orang Melayu sejak sebelum merdeka sehinggalah ke hari ini. Itulah Akhbar Utusan Malaysia.

Menyedari tentang hakikat ini, mereka telah menukar haluan dan strategi. Melayu memang mudah lupa. Melayu mesti dimusnahkan di atas katil tiudrnya sendiri. Api mula dinyalakan dalam sekam. Nyalanya tidak kelihatan, tetapi bara terus membakar tanpa disedari. Inilah yang berlaku hari ini. Kerana mengejar mimpi yang indah, bini dalam pelukan boleh dilarikan orang. Melayu bukan sahaja mulai huru hara, tetapi ada Melayu yang sanggup menggali kubur untuk anak bangsanya sendiri.

Laungan Allahuakbar bukan lagi gema untuk membina kekuatan dan semangat, masjid jadi rebutan dan jadi gelanggang politik. Islam konon-kononnya dijulang tetapi nafsu untuk berkuasa menjadi kuda tonggangan, mereka sanggup membuat hukum sendiri. Sudah hilang pedoman, halal haram sudah jadi rojak mamak.

Jerat yang tidak pernah lupakan pelandok mula mengangga, orang Islam sokong orang bukan Islam yang menghina agamanya sendiri. Institusi Raja yang sudah zaman berzaman menjadi payung dan lambang kuasa dan ketuanan Melayu ikut dicemuh. Utusan Malaysia sebuah akhbar Melayu yang menjadi wadah dan roh kepada perjuangan orang Melayu ikut terharam dan diboikot. Hairannya, Melayu petualang bangsa ini tidak merasa apa-apa, malah mereka mendabik dada.

Melihat kepada senario hari ini, kita tertanya-tanya, apakah konspirasi musuh negara yang sudah sekian lama tersirat dan terpahat untuk menghancurkan tanah keramat ini sudah terlaksana? Tok Selampit terasa letih dan penat untuk menjawabnya. Kita terlalu banyak bercakap dan terlalu banyak berkurban semata-mata untuk menjaga perasaan orang lain. Ada kuasa tak tau guna kuasa, ada harta habis ditelan hantu raya dan jemalang.

Tok Selampit --- sudah terlalu tua, tak sanggup melihat anak bangsa menjadi pengemis di tanah air sendiri.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Nampaknya DS Najib kita pun telah mula mengikut rentak mainan kaum lain. Yang terbaru meliberisasikan beberapa sektor perniagaan yang tidak menharuskan kuota 30% bumiputra. Lepas ni apa lagi kita tak tau. Ini semua penangan melayu tak bersatu di tambah dengan mainan Anwar Ibrahim.

Tanpa Nama berkata...

macam mana melayu nak bersatu jika melayu itu penuh dengan hasat dengki.
melayu juga tak membantu melayu lain macam mana melayu nak maju