Sabtu, 7 Februari 2009

"DIARI ISTERI MUDA DATO YB"

EPISOD PERTAMA


(Cerita ini hanya rekaan semata-mata. Tidak ada hubung-kait dengan idividu atau kumpulan, sama ada yang masih hidup ataupun yang sudah mati)


Malam ini Datuk YB tak balik, katanya sibuk tengok sendiwara manusia di Perak. Episod manusia tamak selalu rugi. Dah kena pecat, nak jadi MB lagi, sampai sanggup mendurhaka kepada Sultan Ketua Negeri. Cerita selanjutnya akupun tak tahu. Aku tak minat politik cuma tahu pangkah apabila tiba hari mengundi. Partinya sudah tentu parti yang diperjuangkan oleh suamiku Datuk YB Gemok. Esukpun tak balik, kerana dari Perak terus ke Kedah, sibuk jumpa perwakilan. Malam lusapun tak balik juga, kata Datuk YB, dari Kedah terus ke Sabah, ada meeting.

Entah apa meeting akupun tak mahu ambil tahu. Yang penting pulus! Ada kerja ada gaji, tak ada kerja duduk-duduklah cungkil gigi. Kalau Datuk YB Gemok tak balikpun, bagus juga, dah tak tahan lagi rasanya jadi pelayan sambut tetamu sampai dua tiga pagi.Kadang-kadang ada juga yang berdengkur hingga ke pagi. Buat air liur basi atas sofa. Nak buet camno? Lepas teh tarik kopi O, lepas kopi O air suam. Tempat rokok penuh sendat, ada di atas meja, bawah kerusi hingga ke bilik air. Asapnya aku cukup tak tahan, macam duduk dalam kepala kereta api arang batu zaman dulu kala.

Para pengikut YB Datuk Gemok lebih suka melepak di rumahku kerana aku amalkan cara hidup "mesra rakyat" bukan macam di rumah Mak Datin, isteri pertama Datuk YB. Dia bukan amal mesra rakyat tapi bertukar jadi musuh rakyat. Betapa tidak, menurut cerita daripada Wak Mastor, orang kanan Datuk YB Gemok, di rumah Mak Datin tak selesa, setiap minit pusing sana dan pusing sini, macam mandur buat jalan kereta api maut di Burma. Ada siket abuk rokok atas meja terus menjerit panggil orang gaji bawa kain lap. Pukul sepuluh malam kalau masih lagi buat air liur borak dengan Datuk YB, siaplah, lampu signalpun berkelip-keliplah di depan pintu besar.
Apabila lampu singnal dah menyala, Datuk YB mulai gelisah dan terus tutup cerita. Esuk boleh sambung lagi.

Wak Mastor, walaupun orang kanan dan body guard tak resmi kepada Datuk YB Gemok kadang-kadang bersunggut juga. "Kalau macam tu jadi bini wakil rakyat, alamatnya lingkuplah negara, tak sampai satu penggal akan jadi wakil rakyat pencen!" Wak Mastor memang orang kepercayaan Datuk YB Gemok. Bergerak Datuk YB, maka bergeraklah Wak Mastor. Kabarnya, Wak Mastor ini, seorang jaguhan pendengkar terbilang. Belasan tahun bertapa di Tanah Jawa.
Menurut cerita, kalau Wak Mastor sudah naik minyak, bukan saja setakat manusia jadi tikus basah ketakutan, gajah dalam hutanpun kencing terberak lari terjun masuk gaung. Entah betul atau tidak, Wallahuallam!

Walaupun pada mula aku menyampah dengan Datuk YB, dahlah gemok pendek macam badak air, lama-lama aku mula sayang padanya. Dia baik dan bertanggung-jawab. Jasa dan pengurbanan Datuk YB Gemok amat besar padaku. Dia merupakan wira kepadaku. Dengan penuh kerelaan Datuk YB menukar corak hidupku, daripada seorang GRO di salah sebuah pusat dangdut di Kl menjadi seorang manusia yang dipanggil isteri. Kadang-kadang datang juga kesian belas ku kepada Mak Datin kerana merampas suaminya, tetapi terpaksalah buat badak pekak, kerana ini semua bagiku sebagai hukum alam. Datuk YB seorang yang berkemampuan, apa salahnya agih-agihkan sikit rezeki Allah itu kepada orang lain.

Yang paling aku bersyukur, Datuk YB bukan sahaja penyelamat tetapi sekaligus mengakhir perangai burukku selama beberapa atahun iaitu berbohong kepada adik-adik dan ibu di kampung. Kononya belanja sekolah adik-adik dan makan minum mereka ialah duit gaji aku bekerja sebagai seorang setiausaha di salah sebuah syarikat di KL. Kadang-kadang terasa juga nak tergelak, lulus darjah enam sekolah Melayu nak kerja apa? Terlalu melalut sangat bohongku kepada mak dan adik-adik. Tetapi nak buet camno? Takkan nak bagi tahu mereka aku jadi GRO, hari ini orang tu pelok, esuk orang lain pula, lusa orang lain lagi. Bertukar ganti macam bantal pelok hotel murah di Jalan Chow Kit. Yang gemok, yang dah tua melalut, baru minum sebotol mabuknya sepuluh botol.

Alhamdulillah! Aku bersyukur, Allah temukan Datuk YB Gemok kepadaku dan dengan rela hati dia mengambilku sebagai isteri. Kami nikah di Kampung Sungai Padi dekat Pekan Golok, Thailand. Wak Mastorlah yang urus segala-galanya. Hari ini, walau apapun, janjiku ialah untuk menjadi seorang isteri yang baik dan setia. Kirim duit kepada adik-adik dan ibu di kampung dengan duit halal. Aku sayang suamiku. Walaupun aku buta kayu dalam politik, tetapi semua tetamunya dan para pengikutnya yang melepak di rumahku, aku layan dengan baik, kadang-kadang sampai ke subuh tak habis-habis buat kopi O. Aku lebih senang Datuk YB melepak di rumah daripada jual perut di merata lobi hotel. Mataku dah mengantuk, nanti kita sambung lagi,