Jumaat, 12 September 2008

Raja Petra Ditahan Bawah ISA

Blogger Raja Petra Kamaruddin telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Negeri (ISA), kata isterinya Marina Lee Abdullah.

Menurutnya, 10 anggota polis datang ke rumah mereka di Sungai Buluh pada kira-kira jam 1.10 tengahari tadi untuk menahannya.

Ketika Malaysiakini menghubunginya pada jam 1.25 tengahari, anggota polis masih berada di rumahnya.

Raja Petra kemudiannya dibawa polis dari rumahnya pada jam 1.50 tengahari ke lokasi yang tidak diketahui.

raja petra to police station on burma doctor sd 040908 03Pada 6 September lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar telah memberi amaran bahawa editor lamanweb Malaysia Today itu mungkin dikenakan ISA kerana menyiarkan komen yang didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), telah membuat laporan polis terhadap Raja Petra berhubung perkara itu.

Mereka mendakwa komen beliau dalam artikel yang bertajuk "I Promise to be a good, non-hypocritical Muslim" didakwa menggunakan ayat-ayat yang menghina orang Islam.

Lamanweb Malaysia Today telah disekat sejak minggu lalu, tetapi sekatan itu telah ditarik balik semalam.

Raja Petra, yang popular dengan panggilan RPK, juga didakwa telah membenarkan komen-komen disiarkan dalam lamanwebnya yang menghina Islam dan Nabi Muhammad, dalam artikel bertajuk "Not all Arabs are descendants of the Prophet".

Sementara itu, Marina berkata, mereka masih belum melantik peguam untuk mengendalikan perkara itu.

Ini adalah kali kedua Raja Petra ditahan di bawah ISA, yang membenarkan tahanan tanpa bicara.

Kali pertama, beliau ditangkap di bawah ISA pada 11 April 2001 ketika gerakan reformasi di mana sembilan orang telah ditahan. Pada masa itu, beliau merupakan webmaster lamanweb FreeAnwar.com ketika itu.

Raja Petra dibebaskan selepas ditahan selama 52 hari. Bagaimanapun, enam daripada pemimpin reformasi itu dihantar ke Kem Tahanan Kamunting di Taiping di mana mereka ditahan selama dua tahun.

Sebelum ini, Raja Petra telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menghasut dan memfitnah selepas mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya dengan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Abdul Razak Baginda, rakan rapat Najib, didakwa bersubahat membunuh wanita Mongolia yang berusia 28 tahun itu, di mana mayatnya telah diletupkan.

Dua anggota polis, yang tugas mereka termasuk mengawal keselamatan timbalan perdana menteri, menghadapi tuduhan membunuh Altantuya.

ISA yang dibantah oleh kumpulan-kumpulan hak asasi manusia, membolehkan seseorang itu ditahan tanpa bicara selama dua tahun - dan boleh dilanjutkan setiap tahun seterusnya - dan biasannya digunakan terhadap suspek pengganas.

Ia juga digunakan terhadap mereka yang tidak sehaluan dengan kerajaan dan tahun lalu, lima orang pemimpin Hindraf telah ditahan tiga selepas mereka menganjurkan perhimpunan besar-besaran di Kuala Lumpur pada 25 November.


Artikel dari Malaysiakini

Tiada ulasan: